Pages

Saturday, April 3, 2010

Wahai SHABAT (PEMUDA) Sekalian !!!!

Belia secara takrifnya berumur antara 17 hingga 40 tahun. Satu julat umur yang besar yang mengumpulkan satu kelompok yang sangat signifikan dalam sesebuah masyarakat. Apabila kita memerhatikan masayarakat kita pada hari ini, maka sebahagian besar permasalahan dalam masyarakat bahkan negara kita hari ini adalah masalah yang melibatkan golongan belia.

Mari kita senaraikan beberapa contoh masalah yang selalu kita dengar. Masalah gejala sosial, seks bebas luar nikah, rempit dengan pelbagai aksinya, masalah budaya lepak, kes-kes jenayah seperti rogol dan jenayah-jenayah seksual yang lain kebanyakannya melibatkan golongan ini. Gejala hiburan berlebihan, tidak serius, membazirkan masa, juga melibatkan golongan belia. Masalah kekurangan kualiti tenaga kerja, pengangguran, kegagalan memenuhi pasaran pekerjaan dan kegagalan dalam akademik juga melibatkan golongan belia. Malah bagi saya, permasalahan kurang cemerlangnya pencapaian negara dalam bidang sukan juga adalah isu belia.

Menjadi salah seorang belia hari ini, saya tertanya-tanya, kenapa segala ini berlaku kepada generasi belia hari ini dan di manakah punca silapnya. Bukan untuk menunding jari mencari salah silap sesiapa, tetapi untuk cuba mencari penyelesaiaannya bersama. Mengenalpasti punca masalah adalah sebahagian daripada usaha ke arah menyelesaikan sesuatu masalah itu. Kenapa negara kita dan masyarakat kita gagal melahirkan generasi belia yang benar-benar berkualiti?

Saya tertanya-tanya, ke manakah hilangnya potensi sebenar yang ada pada belia? Bukankah belia seharusnya mempunyai ciri-ciri kualiti tertentu seperti tinggi idealismenya, tidak takut akan cabaran, tidak mudah menyerah kalah dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya? Sejarah bangsa kita juga penuh dengan karektor-karektor belia berjiwa besar. Bukankah sebahagian besar tokoh-tokoh pimpinan negara kita adalah tokoh belia pada zaman mudanya? Tun Mahathir, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi merupakan tokoh belia di zaman mereka. Dalam bidang sukan juga kita tidak kurang hebatnya. Tokoh sukan kita pernah mencabar pentas dunia pada zaman mereka, biarpun negara baru sahaja merdeka. Kalau kita telusuri sejarah kita sehingga ke zaman kegemilangan bangsa melayu Islam pada kurun kelima belas, maka tentu lebih ramai lagi tokoh belia untuk kita angkat sebagai ‘role-model’ kepada generasi belia hari ini.

Apakah yang telah membunuh potensi sebenar belia hari ini? Pada hemat saya, jawapan kepada soalan ini terkandung dalam cara bagaimana generasi hari ini dibesarkan dan suasana pembesaran mereka. Generasi yang lahir ketika negara terjajah akan membesar dengan memiliki daya juang yang diasuh untuk memperjuangkan kemerdekaan. Generasi yang lahir dalam suasana sukar akan diasuh untuk bekerja keras untuk keluar daripada belenggu kesusahan. Namun generasi yang lahir dalam keadaan serba senang akhirnya gagal menghargai nikmat kesenangan itu. Ini bukan sekadar sangkaan malah antara penemuan kajian yang melihat bagaimana sebuah perniagaan keluarga selalunya tidak dapat berkembang ‘beyond the third generation’.

Lalu apakah agenda yang akan menjadi penggerak (motive for action) generasi belia hari ini. Mereka lahir merdeka, kebanyakannya hidup senang dan tiada apa lagi yang perlu diperjuangkan? Bagaimana untuk menanamkan daya juang kalau sememangnya tiada lagi istilah perjuangan dalam hidup mereka? Bagaimana mengajar belia supaya sanggup bersusah kalau semua perkara mereka perolehi tanpa perlu bersusah payah? Lalu dalam situasi ini ke manakah dihalakan tenaga yang banyak yang ada pada belia? Ke manakah dicurahkan segala kemampuan untuk belajar sesuatu yang baru yang ada pada belia? Ke manakah diletak semangat yang tinggi yang ada pada belia?

Orientasi kehidupan masyarakat

Saya melihat apa yang berlaku kepada generasi belia hari ini adalah terjemahan kepada orientasi hidup masyarakat itu sendiri. Penekanan melampau terhadap pencapaian akademik semata-mata bagi saya terlah membunuh potensi belia. Mana mungkin pencapaian keseluruhan generasi itu diukur dengan satu kayu ukur semata-mata? Ukuran pencapaian akademik bagi saya gagal memperlihatkan potensi sebenar sebuah generasi. Perlumbaan untuk mencapai pencapaian akademik semata-mata, telah mengakibatkan perlumbaan dalam satu sudut potensi manusia, sehingga mengabaikan sudut-sudut yang lain. Kita dapat lihat generasi muda kita tidak lagi bersungguh-sungguh dalam perkara selain akademik seperti kesukanan, kesenian, kecemerlangan sahsiah, kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan, sedangkan bidang-bidang ini juga perlu dititikberatkan dalam pembangunan sebuah generasi.

Orientasi hidup yang terlalu menekankan unsur kebendaan juga bagi saya membunuh potensi belia. Kalaulah nilai kejayaan diterjemahkan semata-mata kepada nilai matawang, maka banyak perkara akan hilang nilaian sebenarnya. Perkara seperti kemuliaan peribadi, keperihatinan terhadap masyarakat sekeliling, sensiviti terhadap masalah umat, ringan tangan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang perlu, tentunya tiada nilai matawang. Apatah lagi, saya selalu dengar pesanan sesetengah ibubapa apabila anaknya terlibat dengan banyak aktiviti persatuan semasa di kampus, kata mereka, “Jangan pedulikan sangat hal-hal lain tu, yang penting study betul-betul, nanti boleh dapat kerja yang bagus.” Alangkah malangnya.

Cara fikir “video game”

Satu lagi penyakit yang pada saya memberi impak yang sangat besar kepada generasi hari ini ialah gabungan perkembangan teknologi yang tidak diimbangi dengan perkembangan modal insan. Teknologi maklumat memberi banyak kebaikan kepada generasi ini, namun jika tidak diimbangi dengan kewarasan akal dan tidak dibatasi dengan lingkungan budaya dan agama, maka generasi kita seolah tidak mampu memilih maklumat apa yang perlu dicari dan diakses. Kecanggihan teknologi juga banyak mengubah cara generasi belia mengisi masa terluang. Sukan pada generasi ini cuma bersukan di alam maya, virtual reality dengan segala gadjet yang ada. Kita dapat lihat, peminat sukan dan penggiat sukan tidak mengeluarkan setitik peluh pun dalam permainan mereka. Semangat juang generasi ini, cuma ada dalam game “RPG” dan kecerdasan generasi ini cuma dalam game-game strategi. Kedua-dua ini; kepesatan maklumat yang ‘available’ dan cara fikir yang diperoleh daripada permainan alam maya ini menyumbang kepada cara fikir generasi hari ini. Dalam permainan video game, segala perkara boleh dicuba, “try and error”, kalau silap tekan sahaja “restart”, semua perkara boleh diulang semula. Peluang atau ‘life’ yang ada boleh diulang semula. Semua ini membentuk cara fikir dan cara mereka berinteraksi dengan alam realiti. Seolah-olah semua perkara boleh dicuba, dan jika tak suka restart sahaja. Saya nampak cara fikir ini dalam cara generasi belia kita menangani masalah dalam alam kerjaya, dalam rumahtangga, dalam bergaul dengan rakan-rakan dan dalam kehidupan mereka. Mereka lupa, mereka muda cuma sekali. Hidup tidak boleh diundur semula walau sesaat. Tidak semua kesilapan boleh di“undo” , minda dan hati tidak boleh di“format” semula daripada apa yang telah dilalui. Dalam bahasa statistik, tak semua keputusan kita pada sesuatu masa itu “mutually independent”; tidak berkait dengan keputusan-keputusan yang telah di buat sebelumnya.

Inilah cabaran generasi belia hari ini. Cabaran yang berbeza di setiap zaman memerlukan ‘approach’ yang berbeza, walaupun kaedah asalnya tetap sama. Kaedah asal mengenai jiwa manusia yang perlukan agama tetap sama, kaeadah perlunya kepada seruan kepada kebaikan dan usaha mencegah kemaksiatan tetap sama. Manusia tetap manusia yang hidup dan akan mati, selanjutnya akan dipertanggungjawabkan segala amalan mereka.



http://masamnis.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

 


Al-Quran dan Terjemahan