Pages

Wednesday, March 31, 2010

Konsert Jom Heboh Kota Bharu 2010

KOTA BARU, 6 Mac — Kerajaan negeri membenarkan Konsert Jom Heboh anjuran TV3 diadakan di Kelantan pada 26 dan 27 Mac ini sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, tetapi melarang penyanyi wanita membuat persembahan.

Kerajaan negeri juga menetapkan syarat supaya penonton diasingkan mengikut tiga kategori iaitu berkeluarga, lelaki dan wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata persetujuan kerajaan itu hasil perbincangan antara pihak Media Prima dan kerajaan negeri.

“Keputusan itu dibuat oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini, berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin menyambut ketibaan penumpang penerbangan sulung syarikat penerbangan tambang murah Silver Fly, milik Berjaya Air dari Ipoh ke Kota Baru.

Beliau berkata keputusan kerajaan negeri menerima pertunjukan Konsert Jom Heboh TV3 itu mulai tahun ini menunjukkan kerajaan tidak mengharamkan hiburan sebaliknya mengawal pertunjukan hiburan mengikut enakmen hiburan yang diterima pakai di Kelantan.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan negeri pernah menolak permohonan TV3 untuk menganjurkan Sure Heboh kerana ia bertentangan dengan konsert hiburan yang dikehendaki oleh Enakmen Hiburan di negeri ini.

“Tetapi setelah pihak berkenaan (TV3) memperakukan segala peraturan dan syarat-syarat pertunjukan itu, kerajaan negeri sedia menerima konsert itu tahun ini,” katanya.

Takiyuddin berkata pada konsert itu, pihak berkenaan akan mengadakan satu slot khas bercorak agama yang melibatkan penyertaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. — Bernama




2010/03/28

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra memperkenankan Konsert Jom Heboh yang sebelum ini diharamkan kerajaan negeri supaya diteruskan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televi-syen Media Prima Berhad (Media Prima), Datuk Seri Farid Ridzuan, berkata Tuanku melahirkan rasa gembira dengan suasana yang ditunjukkan dalam program itu yang lebih memberi penekanan kepada konsep kekeluargaan.

Katanya, Pemangku Raja Kelantan juga gembira apabila melihat rakyat turut bergembira dengan pelbagai program yang disediakan melalui program berkenaan.“Baginda bertitah sekiranya rakyat Kelantan suka, kita (Jom Heboh) boleh datang lagi,” katanya selepas majlis rakaman program Al-Kulliyyah di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Keempat, di sini semalam.

Tengku Muhammad Faris Petra berkenan mencemar Duli menghadiri dan menonton Al-Kulliyyah yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi serta beberapa Exco kanan kerajaan negeri.

Konsert kali ini adalah yang pertama diadakan di Kelantan selepas kerajaan negeri mengharamkan Sure Heboh TV3.

Mengenai syarat dikenakan kerajaan negeri, Farid berkata, ia memang berpatutan dan dipatuhi TV3 seperti mengasingkan lelaki serta wanita bukan muhrim daripada duduk bersama ketika menonton konsert dan kerajaan negeri berpuas hati dengan kerjasama diberikan.
Sementara itu, ketika merasmikan majlis ramah mesra orang kurang upaya (OKU) di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat bersetuju Konsert Jom Heboh diadakan buat kali kedua tahun depan.

Katanya, konsert berkenaan didapati dilaksanakan dengan baik dan mengikut segala syarat dikenakan seperti wanita menutup aurat serta pergaulan lelaki dan wanita mengikut batasan.

"Ia (konsert) berjalan baik dan untuk diadakan kali kedua tahun depan, saya boleh terima dengan syarat dia (TV3) patuh kepada enakmen kerajaan Kelantan seperti berpakaian menutup aurat (perempuan) dan pergaulan tidak bebas (lelaki dengan perempuan),” katanya


http://masamnis.blogspot.com/
 


Al-Quran dan Terjemahan