Pages

Thursday, April 1, 2010

1 April 2010: Sensitifkah umat Islam di negara ini?

Tarikh 1 April 2010 mungkin tidak memberi apa-apa makna atau signifikansi kepada kebanyakan penduduk di negara ini, khususnya umat Islam. Kalau ada pun, mungkin yang terlintas di fikiran ialah sambutan April Fool, satu lagi budaya picisan yang diimport dari barat seiring dengan agenda serangan pemikiran ke atas umat Islam.

Hari ini sebenarnya merupakan satu detik yang cukup penting dan bersejarah kerana satu keputusan besar akan dibuat yang bakal menentukan masa depan seorang insan kecil. Pada zahirnya isu yang dibangkitkan ialah perebutan hak penjagaan ke atas seorang kanak-kanak di antara ayahnya yang telah memeluk Islam dan ibunya yang kekal sebagai seorang penganut Hindu. Namun isu yang lebih besar ialah kesucian akidah kanak-kanak tersebut, sama ada dia akan membesar sebagai muslim atau sebaliknya.

Demikianlah nasib yang menimpa Ummu Habibah atau Prasana Diksa (22 bulan) yang menjadi rebutan antara Mohd Ridzuan Abdullah (nama asalnya K. Pathmanathan) dan Indira Gandhi. Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Wan Afrah Wan Ibrahim hari ini akan memberi keputusan terhadap permohonan Mohd Ridzuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu sebelum ini yang telah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak pasangan tersebut kepada bekas isterinya.

Kes ini juga menjadi indikator terhadap kedudukan dan kedaulatan undang-undang Islam di negara ini. Walaupun sebenarnya undang-undang Islam sudah kalah dalam pusingan terdahulu apabila Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac lalu memutuskan hak penjagaan ketiga-tiga anak Mohd Ridzuan diserahkan kepada bekas isterinya yang bukan beragama Islam, Indira Ghandi.

Keputusan itu sekaligus menafikan keputusan Mahkamah Syariah pada 29 Oktober tahun lalu yang telah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Mohd Ridzuan. Senario ini secara langsung menunjukkan bahawa kedudukan Mahkamah Sivil di sisi undang-undang negara ini lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah. Namun berbekalkan keyakinan bahawa Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa dalam hal ini, Mohd Ridzuan telah memohon agar pelaksanaan keputusan tersebut ditangguhkan sementara beliau mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Lebih utama lagi dalam isu ini sebenarnya ialah sejauh mana sensitiviti dan kepedulian umat Islam di tanahair terhadap kes ini kerana isu ini bukan semata-mata isu Mohd Ridzuan tetapi adalah isu bersama seluruh umat Islam. Adakah kita prihatin dengan masa depan akidah anak beliau? Adakah kita terkesan dengan keputusan Mahkamah Tinggi terbabit yang sudah pasti akan menjadi precedent untuk kes-kes serupa di masa hadapan?

Jauh berbeza sekali situasinya dengan 50 tahun yang lalu, di mana umat Islam di negara ini telah bersatu dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu Natrah yang berdepan krisis serupa (ketika ini saya sedang membaca buku Natrah: Cinta, Rusuhan & Air Mata tulisan Datin Fatini Yaacob). Natrah (nama sebenar Huberdina Maria Hertogh), seorang gadis berketurunan Belanda tetapi dibesarkan dalam persekitaran Islam di Tanah Melayu, menjadi rebutan antara ibu bapa kandung dan keluarga angkatnya.

Kepedulian umat Islam ketika itu jelas kelihatan apabila satu Jawatankuasa Tindakan Natrah telah ditubuhkan untuk menzahirkan sokongan dan perjuangan seluruh umat terhadap isu Natrah. Malah dianggarkan seramai 2000 hingga 3000 orang sanggup menunggu di hadapan Mahkamah Tinggi Singapura sepanjang perbicaraan berlangsung. Kemuncak perjuangan mereka ialah satu rusuhan besar-besaran yang telah mengorbankan 18 nyawa. Rentetan peristiwa ini mencerminkan sensitiviti umat dalam mempertahankan kesucian Islam dan membela akidah saudara seagama.

Senario tersebut jauh berbeza dengan realiti masa kini di mana tahap kepedulian umat begitu meruncing, malah boleh dikatakan hampir-hampir mati. Kes-kes seperti yang dialami oleh Mohd Ridzuan dibiarkan berlalu begitu sahaja, begitu juga dengan gejala murtad yang saban hari semakin serius. Jika beginilah tahap sensitiviti umat, apalah sangat yang boleh kita harapkan daripada mereka. Justeru menjadi tanggungjawab besar gerakan-gerakan Islam dan para pendakwah di negara ini khususnya untuk mengembalikan sifat al-ihtimam atau naluri kepedulian umat, sebagai langkah awal untuk memartabatkan kedudukan Islam di persada yang selayaknya.



http://masamnis.blogspot.com/

1 comment:

 


Al-Quran dan Terjemahan