Pages

Friday, April 16, 2010

Gerakan berfasa adalah sunnatullah

Tanggungjawab umat Islam adalah mengubah kemungkaran (taghyir). Perubahan bermaksud menggantikan kemungkaran dengan kebenaran, bukan menghapuskan kemungkaran dan menggantikannya dengan kemungkaran yang lain. Malah kita dilarang mengubah sesuatu kemungkaran jika boleh menyebabkan wujudnya kemungkaran lain lebih besar. Allah melarang umat Islam mengutuk berhala kerana akan menyebabkan orang kafir mengutuk Allah s.w.t.

Allah s.w.t telah menunjukkan bagaimana cara merubah tamaddun jahiliyyah kepada Islam melalui penurunan wahyu secara beransur-ansur kepada Rasulullah s.aw. Allah mentaklifkan manusia untuk menegakkan Islam, Allah juga telah meletakkan sunnah kepada perubahan manusia yag berubah secara beransur-ansur. Maka proses merubah tamaddun manusia juga perlu dilakukan secara beransur-ansur atau berfasa.

Allah mengubah manusia bermula dengan mengubah minda, aqidah, kepercayaan, keyakinan atau keimanan kemudian mengubah perasaan takut hanya kepada Allah, neraka dan azabNya dan mengubah perasaan cinta hanya kepada Allah dan keredhaanNya. Kefahaman yang jelas, perasaan takut dan cinta hanya kepada Allah telah merubah sikap, amalan dan tindakan sahabat daripada jahiliyyah kepada Islam.

Namun tarbiyyah dan proses perubahan itu tidak berlaku sekaligus tetapi bertahap dan beransur-ansur sesuai dengan kemampuan manusia untuk memikulnya. Kewajiban-kewajiban Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji disyariatkan kebanyakannya setelah dakwah berpindah ke Madinah dan tarbiyyah berlalu lebih 10 tahun. Begitu juga mengenai fasa-fasa jihad Nabi s.a.w. dan polisi hubungan luarnya.

Polisi hubungan luar antara Islam dan jahiliyyah di fasa Makkiah adalah dakwah dan menyampaikan Islam. Mula-mula Nabi hanya menyampaikan Islam secara terpilih dan berahsia, kemudian Allah memerintahkan Nabi mengiklankannya kepada kaum kerabatnya, kemudian kepada seluruh qabilah Arab.

Ketika Nabi mengiklankan dakwah, golongan yang tertutup hati mereka dan berkepentingan mula menentang Nabi; dengan kata-kata, mengganggu dakwah Nabi dengan program-program syair, ceramah-ceramah memburuk-burukkan Nabi, menghasut orang ramai, mengugut orang miskin dan hamba, menabur duri dan najis-najis unta di jalan-jalan Nabi dan di badan Nabi s.a.w., menyiksa golongan hamba yang beriman, mebuat tawaran-tawaran duniawi kepada Nabi, akhirnya membuat pakatan memulau Nabi s.a.w. dan usaha membunuhnya.

Semua tekanan ini berlaku dan Allah hanya memerintahkan Nabi agar berdiam, tidak menjawab dan tidak bertindak balas secara kekerasan. Hanya Allah yang menurunkan wahyu bagi menjawab segala tindakan golongan kuffar sebagai tarbiyyah kepada umat Islam dan ancaman kepada golongan kuffar, Allah mengancam dan mengugut golongan kuffar dengan wahyu-wahyuNya.

Sunnatullah demikian rupa kerana Allah ingin menguji manusia dan mewajibkan umat Islam berusaha menggunakan dan meraikan sebab musabab yang telah ditetapkan menjadi sistem hidup di dunia ini dan dalam setiap pergerakan mereka.

Polisi Nabi s.a.w. di fasa selepas peperangan al-Ahzab adalah dakwah memeluk Islam dan kaum kafir diperintahkan sama ada menjadi Islam dan selamat, menerima zimmah dan membayar jizyah atau perang.

Begitu juga Jahiliyyah kurun ke-20 tidak berlaku secara tiba-tiba dan kebetulan. Masyarakat Islam berubah daripada identiti unggul zaman salaf sehingga kini juga berlaku secara beransur-ansur.

Yahudi berusaha untuk memadamkan cahaya Iman dan Islam sejak zaman Nabi s.a.w. lagi. Mereka tidak pernah berputus asa. Yahudi dan musuh-musuh Islamlah yang cuba memporak perandakan kerajaan Islam zaman Abu Bakar al-Siddiq. Lahirnya fikrah tidak wajib mengeluarkan zakat dan fikrah ini berkembang menjadi satu puak dan menentang khalifah, lahirnya golongan yang murtad, lahir nabi-nabi palsu dan didokong oleh pengikut-pengikutnya di samping kerajaan Romawi yang menentang Islam. Segala penentangan terhadap Islam tidak berlaku secara spontan tetapi dibelakangnya ada penggeraknya, pengaturnya, perencananya dan mereka juga berstrategi.

Kemunculan fahaman penentangan khalifah di zaman Uthman al-Affan yang membawa kesyahidannya juga kemunculan yang terencana yang digerakkan oleh Abdullah bin Saba yang melahirkan golongan Khawarij dan Zindiq seterusnya melahirkan golongan Rafidi dan berkembang menjadi Syiah Imamiyyah.

Berlakunya peperangan Salib ke atas kerajaan Uthmaniyyah kemudian bertukar kepada serangan melalui dalam secara mengahwinkan wanita Yahudi dengan pimpinan kerajaan Turki, kerjasama Barat dan kerajaan Turki Uthmaniyyah, perang dunia pertama sehingga lahir golongan pemberontak yang mengguling Sultan Abdul Hamid dan menamatkan sistem Khalifah. Kesemua ini adalah siri-siri strategi musuh Islam dalam usaha menjatuhkan Islam.

Iblis telah berjaji tidak akan berhenti berjuang sehingga hari kiamat dan sudah pasti wujud di kalangan bani Insan yang akan menjadi tunggangan Iblis sejak kisah Qabil dan Habil.

Kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris ke Tanah Melayu; pembukaan negeri-negeri selat, perjanjian-perjanjian dengan Sultan Melayu, Perjanjian Pangkor, penubuhan sekolah-sekolah dakyah Kristian, penubuhan maktab-maktab perguruan, memblokkan negeri-negeri kepada negeri bersekutu dan tak bersekutu, pewujudan sistem Residen, mengambil orang-orang Melayu yang berpendidikan Inggeris atau Melayu sebagai pegawai kerajaan Inggeris, melaksanakan sistem cukai, sistem kehakiman, sistem pemerintahan secara Inggeris, memilih anak-anak bangsawan untuk bersekolah di Penang Free School, mengambil anak-anak bangsawan untuk belajar di Cambridge, menggubal silibus pendidikan di sekolah-sekolah Inggeris dan Melayu termasuk silibus pengajian agama Islam, sejarah Islam dan sebagainya.

Semua ini bukankah satu perancangan yang berperingkat-peringkat dan berfasa-fasa untuk mencetak pemikiran umat Islam dengan neraca barat, cara berfikir barat, logik barat, adat resam barat, akhlak dan budaya barat.

Malah sejak kemerdekaan sehingga hari ini, apakah isu-isu dasar yang telah berubah dalam sistem pemerintahan negara?? Kenapa tidak berubah??

Sebab majoriti masyarakat Melayu masih terikat dengan sistem barat termasuk terikat dengan satu cara untuk menegakkan Islam iaitu melalui pilihanraya! Sedangkan ini bukan cara Islam ditegakkan di zaman Nabi s.a.w.

Jika gerakan Islam hanya menjadikan pilihanraya sebagai manhaj perubahan akan menjadikan umat Islam akan berjuang 4 tahun sekali secara berkempen… dan merayu undi!!!

Sejak merdeka sehingga hari ini, identiti umat Islam semakin terhakis termasuk anak-anak pejuang-pejuang Islam dan pendokong perjuangan Islam. Tanpa kembali kepada manhaj nabawi, umat Islam tidak mungkin dikembalikan kepada kedudukan sebenar sebagai khalifah.

Sepatutnya setiap umat Islam mempelajari al-Quran dan tafsirnya, hadis dan maknanya serta menghayatinya dalam kehidupannya dan rumahtangganya. Kenapa ini tidak berlaku?? Sebab kita tidak mahu ini berlaku atau kita tidak diajak melakukannya?? Kalau gerakan Islam mahukan perkara ini berlaku mereka akan memberi fokus jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk pilihanraya kepada melahirkan ribuan Murabbi yang faham lagi mursyid.

Oleh kerana kerajaan kita mewarisi perlembagan Lord Reid maka umat Islam tidak boleh mengharapkan sesiapa sahaja yang memerintah untuk melaksanakan Islam seperti dalam al-Quran sehingga perlembagaan dipinda. Sebelum usia kita tamat menunggu Islam menang melalui pilihanraya umat Islam perlu melakukan sendiri segala tuntutan syarak ke atas dirinya sendiri dan bersama-sama jamaah Islam yang dianggotainya setakat kemampuan mereka.

Islam hanya akan tertegak dalam kehidupan ini sekadar apa yang kita amalkannya. Kita tidak akan mengamalkannya sehingga kita mahu dan berkehendak untuk mengamalkannya. Kemahuan akan timbul apabila kita faham dan takutkan Allah dan harapkan keampunanNya. Jalan pintas untuk faham dan ada kemahuan hanya dengan kembali meneliti ajaran al-Quran dan menyerah diri untuk dididik oleh al-Quran.

Sesiapa yang tidak menjadikan al-Quran sebagai bacaan dan sumber kefahaman dan amalan hidupnya hanya berbohong kepada Allah dalam Syahadah yang diucapkannya setiap kali solat.

Pimpinan gerakan Islam yang membiarkan pengikutnya yang memberi masa, wang ringgit, tenaga dan berkorban apa sahaja untuk perjuangannya tetapi tidak mengambil berat urusan agamanya, kefahamannya, ketakwaannya dan kehidupannya dibimbangi tidak akan dimasukkan ke syurga bersama mereka.

Setiap gerakan Islam perlu bermuhasabah dan melihat apakah yang telah disumbangkan kepada perubahan identiti ummah, apakah hendak dibiarkan sahaja mereka dididik oleh sistem yang gerakan Islam hendak tumbangkan itu. Sejak merdeka sehingga hari ini apakah hasil perjuangan melalui manhaj sedia ada? Adakah ahli biasa gerakan Islam yang terlibat berpuluh tahun lalu sudah berjaya mendidik isteri dan anak-anak mereka atas inisiatif pimpinan atau mereka mencari sendiri dengan usaha mereka?

Menjadikan tarbiyyah sebagai manhaj perubahan bermaksud setiap ahli perlu melalui proses tarbiyyah sebelum menjadi pimpinan dalam gerakan Islam. “Jundiyyah tariq ila al-Qiyadah”. “Tafaqqahu qabla an Tasudu”. Tidak ada istilah lompat dalam gerakan Islam kerana orang baru perlu membuktikan kefahaman, keimanan, keyakinan dan implimentasi terhadap fikrah perjuangan sebelum mereka boleh dilantik menjadi pemimpin. Gerakan Islam memilih mentarbiyyah ummah sebagai manhaj perubahan kerana inilah sunnatullah dalam membangunkan ummah ke arah objektif Islam sebagaimana musuh Islam juga menggunakan manhaj yang sama dalam meruntuhkan ummah dengan meruntuhkan kefahaman mereka dan menjuzuk-juzukkan amalan hidup mereka antara Islam dan jahiliyyah.

Idea ini sayugia difahami dengan tidak menafikan keperluan terlibat dalam pilihanraya sebagai wahana dakwah dalam proses menasihati pemerintah melakukan yang terbaik untuk ummah.

Oleh: Ustaz Annuar Salleh,
Yang Dipertua ISMA DHL
Sumber: Renungan2u



http://masamnis.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

 


Al-Quran dan Terjemahan